top of page

Punca utama kebakaran kenderaan


Sumber foto dari Berita Harian


Berita tentang kebakaran yang melibatkan kenderaan sudah tidak asing lagi dalam kalangan masyarakat kita. Kadang kala ianya berlaku tanpa sebarang tanda dan secara mengejut menyebabkan kereta mengeluarkan asap lalu boleh mencetuskan kebakaran. Perkara ini akan menyebabkan timbulnya perasaan cemas tidak kira samada pemilik kereta mahupun kepada seseorang yang melihat kejadian itu. Hal ini amatlah berbahaya bagi pemandu yang sedang memandu kereta mereka kerana jika memandu dalam keadaan cemas boleh membahayakan pemandu lain dan menimbulkan kemalangan yang lain. Akan tetapi, pernahkah terlintas di fikiran kita apakah punca ataupun faktor yang menyebabkan kenderaan kita boleh terbakar?


Banyak faktor yang menjadi asbab kepada berlakunya kebakaran boleh dielakkan. Berikut adalah beberapa punca yang boleh menyebabkan kenderaan terbakar.


1. Kereta terlalu panas (Overheating)


Secara umumnya, perkara ini boleh terjadi jika pemilik kendaraan tersebut mengabaikan penyelenggaraan kenderaan mereka kerana tanpa penyelenggaraan yang baik maka terdapat beberapa komponen di dalam kereta yang akan gagal untuk berfungsi dengan baik seperti kerosakan relay dan kipas radiator, kebocoran radiator dan kerosakan pam air (water pump). Jadi untuk mengelakkan dari perkara ini terjadi pemilik perlulah memastikan sistem penyejuk kereta berfungsi dengan baik.


2. Kebocoran bahan api


Bahan api merupakan bahan utama dalam menggerakkan kenderaan namun perlu berwaspada kerana bahan api (petrol atau diesel) adalah bahan yang mudah terbakar. Ianya boleh terjadi apabila bahan api tersebut bocor lalu wujudnya oksigen serta percikan api walaupun sedikit dan kecil daripada sistem wayar didalam kenderaan yang rosak. Kebiasaannya perkara ini terjadi kerana saluran bahan bakar yang rosak dan tidak diseleggara. Selain itu, sistem penyambungan dan suntikan bahan api yang tidak betul serta bocor juga menjadi faktor berlakunya perkara ini.


3. Aksesori kenderaan


Aksesori kenderaan merupakan perkara yang tidak asing dan popular pada zaman kini. Antara contoh aksesori yang terkenal adalah dashcam.


Aksesori kereta seperti dashcam merupakan satu aksesori yang sedang terkenal di kalangan masyarakat sekarang. Namun perlu diingatkan juga bahawa pemasangan yang tidak betul boleh membawa kepada laluan litar yang salah, fius terbakar, dan penggunaan tenaga elektrik yang banyak. Oleh itu demi mencegah perkara ini pemasangan wayar yang kemas perlu dititikberatkan agar wayar tidak bergesel sesama sendiri mahupun bergesel pada besi dan bahagian yang panas.


4. Menyimpan barangan yang berbahaya


Kita sering mengambil mudah dalam memastikan barang barang yang boleh dan tidak boleh disimpan di dalam kereta. Terdapat beberapa jenis barang yang apabila disimpan didalam kenderaan boleh mencetuskan kebakaran. Antara contoh barangan yang mudah terbakar adalah pemetik api. Pemilik kenderaan yang merokok mesti mempunyai pemetik api di dalam kereta dan jika suhu kenderaan mereka naik sehingga 60 °C dan keatas boleh menyebabkan tiub pemetik api tersebut mengembang dan meletup. Selain itu barangan yang mempunyai bateri seperti powerbank juga perlu diberi perhatian agar tidak ditinggalkan dalam kenderaan yang sedang panas kerana bateri juga boleh meletup apabila mencecah pada sesuatu suhu.




144 views0 comments

Recent Posts

See All
bottom of page