top of page

Periksa hayat hos dapur gas elak peningkatan kebakaran



Hos gas untuk kegunaan memasak perlu diganti sekurang-kurangnya dua tahun sekali selain mengguna hos dan alat pengawal atur (regulator) gas menepati piawaian bagi mengelak sebarang musibah.


Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Zon Sibu, Abdul Mutalib Rashid berkata,  ini penting bagi menjaga keselamatan kerana berlaku peningkatan kebakaran rumah berpunca daripada penggunaan dapur gas.


“Bagaimanapun, tidak semua kebakaran berpunca daripada masalah yang sama, namun pengunaan dapur gas harus mematuhi peraturan pihak pengeluar,” katanya kepada pemberita di sini semalam.


Abdul Mutalib menjelaskan,  pengeluar sering menasihat pengguna agar menukar hos gas ini sekurang-kurangnya sekali setiap dua tahun atau sekiranya terdapat kerosakan.


“Hos gas ini terdedah kepada haba serta percikan minyak digunakan ketika mengoreng, yang menarik makhluk perosak seperti tikus untuk menggigit hos terbabit,” katanya.   Menyentuh mengenai kes di Julau baru-baru ini, beliau berkata siasatan mendapati berlaku kebocoran gas berikutan hos rosak selepas digigit  tikus.

Ini katanya, telah menyebabkan berlaku letupan apabila mangsa cuba menyalakan dapur gas untuk memasak.

Mutalib juga mengingatkan pentingnya bagi orang ramai menggunakan hos atau pengawal atur gas diluluskan oleh Institut Piawaian dan Penyelidikan Perindustrian Malaysia (SIRIM).


Beliau juga menggesa orang ramai memeriksa hos gas dari sebarang kebocoran dengan menggunakan air sabun seminggu sekali.

“Klip bagi menyambung hos pada alat pengawal atur gas dan pada dapur gas itu sendiri juga perlu diperiksa dari semasa ke semasa. Ini kerana selepas dua tahun digunakan, klip terbabit mungkin longgar,” ujar Mutalib.


Di samping itu, Mutalib juga menasihati orang ramai agar segera membuka tingkap dan pintu jika  terhidu bau gas di dalam kediaman mereka, selain menutup dan menanggalkan alat pengawal atur gas terbabit.


“Jangan hidup sebaliknya matikan sebarang suis atau peralatan elektrik kerana tindakan ini boleh mencetuskan percikan api.

Beliau juga menasihati suri rumah agar tidak meninggalkan dapur apabila sedang memasak bagi melakukan kerja yang lain.

185 views0 comments

Recent Posts

See All
bottom of page