top of page

Empat rentung dalam kebakaran di Kompleks Bersepadu Pengerang



JOHOR BAHRU: Empat rentung manakala seorang lagi parah dalam kebakaran dan letupan di Kompleks Bersepadu Pengerang, Kota Tinggi, malam tadi.

Dalam kejadian jam 10.50 malam tadi, seorang mangsa masih sedang dikesan.

Empat mangsa yang maut adalah Fadhi Akmal Fadzil, Azarul Ashraf Nor Akmal, Norfazly Md Nor dan Che Huzaidy Che Harun.

Mangsa yang hilang dan sedang dikesan ialah Hadi Syafiq Jamil, mangsa parah akibat melecur 70 peratus dikenali sebagai Arnado Alexander manakala Mohd Saiful Amat disahkan selamat.



Komander Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pauzan Ahmad, berkata mangsa yang parah dikejarkan ke Hospital Sultan Ismail (HSI) Johor Bahru untuk rawatan susulan manakala mayat mangsa yang rentung dihantar ke Hospital Kota Tinggi.

“Ada tujuh mangsa iaitu empat rentung yang dikeluarkan anggota JBPM, seorang melecur 70 peratus dikeluarkan Pasukan Tindakan Kecemasan (Emergency Response Team), seorang mangsa dapat menyelamatkan diri manakala seorang lagi masih hilang.

“Letupan dan kebakaran membabitkan Plant Diesel Hydro Treater Unit (HTU) yang menjalankan proses membuang sulfur dari diesel mentah dengan menggunakan gas hidrogen.


“Operasi mencari dan menyelamat sedang dilakukan dengan dua belas anggota dan dipecahkan kepada pasukan.

“Kerja pemadaman dan penyejukan pula menggunakan lapan pancutan monitor jentera dan dua pancutan Ground Monitor dengan sumber air dari jentera Water Tanker dan pili bomba berhampiran,” katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Pauzan berkata, punca kebakaran masih lagi dalam siasatan dan kerja memadam kebakaran dan mencari mangsa masih diteruskan.

Beliau berkata, Pusat Gerakan Operasi Negeri Johor menerima panggilan kecemasan kebakaran Diesel Hydro Treater Unit menerusi talian terus ke balai pada jam 11.18 malam tadi.


“Sebanyak dua jentera FRT, satu jentera LFRT, satu jentera EMRS satu jentera Water Tanker, satu jentera Foam Tender, satu jentera ALP, satu lori Hicom 5 Tan dan satu Lori Isuzu 3 Tan, dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Rengit dibantu BBP Sebana Cove, BBP Penawar, BBP Pasir Gudang dan BBP Larkin dengan kekuatan seramai sembilan pegawai dan 33 anggota dihantar ke tempat kejadian.

“Turut membantu adalah Central Emergency dan Fire Services (CEFS) Pengerang seramai 37 anggota dengan lapan jentera, Emergency Response Team (ERT) Pengerang seramai empat anggota dan Central Medical Facility(CMF) Pengerang seramai 13 anggota,” katanya.

76 views0 comments

Recent Posts

See All
bottom of page