top of page

17 Perkara Anda Perlu Periksa Dan Lakukan Sebelum Tinggalkan Rumah



Kebiasaannya, rumah kediaman pastinya akan ditinggalkan dalam keadaan dan jangka masa yang agak lama. Berikut adalah beberapa tip untuk dikongsikan hasil pengalaman beberapa tahun anak perantau ini meninggalkan rumah dalam jangka masa yang panjang.


1. Tutup semua pintu bilik dan pintu tandas.

Tujuannya jikalau binatang dan serangga perosak muncul dari mana-mana bilik dan sudut, biarlah pergerakan mereka terbatas dalam ruangan tersebut sahaja.


2. Tutup punca air utama di meter paip.

Sedikit kebocoran kecil sahaja lama-lama boleh menjadi lautan dalam bilik air kita. Apatah lagi kalau kebocoran daripada tangki air atas, boleh runtuh siling kita dibuatnya.


3. Tutup dan cabut plug daripada soket untuk barang elektrik

Contoh barang elektrik terlibat adalah televisyen, komputer, seterika, periuk elektrik, cerek dan lain-lain lagi. Kecuali alatan elektrik yang penting sahaja seperti peti sejuk, penggera keselamatan, akuarium. Selain untuk penjimatan elektrik, tujuannya untuk mengelakkan litar pintas sekiranya ada ‘overload’ kuasa elektrik berpunca daripada kilat.


4. Pastikan juga ‘gas regulator’ dicabut daripada tong gas dapur anda.

Kebocoran kecil gas boleh berkumpul dalam ruangan tertutup boleh menjadi punca letupan dengan sedikit percikan api sahaja.


5. Tutup ruangan celahan bawah pintu utama dan pintu belakang dengan kain perca ataupun apa-apa sahaja yang bersesuaian.

Ini untuk mengelakkan binatang dan serangga perosak yang bersarang di luar untuk masuk ke dalam rumah. Lagi baik, sembur racun serangga di antara celahan pintu.


6. Pastikan mangkuk tandas duduk ditutup rapi.

Tikus berupaya masuk kedalam rumah melalui lubang tandas tersebut. Selain itu, nyamuk pun boleh bertelur dalam air jernihnya. Jangan lupa juga lubang salur air keluar, alas atau lapik dengan baldi supaya binatang atau serangga perosak ni sukar untuk menceroboh masuk ke dalam.


7. Kosongkan tong sampah dan buang semua sampah keluar daripada rumah.

Jika tidak pasti semut, berenga, lipas dan lain-lain lagi akan membuat parti liar di dalam rumah kita.


8. Simpan semua makanan yang berbungkus plastik ke dalam almari atau peti sejuk.

Tikus boleh menyelongkar makanan dalam plastik yang dibiarkan terdedah walaupun dibungkus / diikat rapi.


9. Mana-mana makanan yang hampir ke tarikh luput, eloklah dibawa pulang sekali ke kampung untuk dihabiskan.

Begitu juga barang makanan didalam peti sejuk yang ‘perishable’ seperti sayur, dimasak habis untuk dibawa bekal atau dibawa pulang sahaja.


10. Jangan dibiarkan sinki dengan pinggan mangkuk kotor.

Cuci dan buang sisa makanan yang ada dalam sinki untuk mengelakkan tarikan semut.

Simpan pinggan mangkuk dalam almari bertutup ataupun tutup dengan surat khabar kerana kita tidak tahu binatang apa yang dah merayap atas pinggan mangkuk kita bila pulang nanti.


11. Terlangkupkan kotak, baldi dan apa-apa bekas yang kita ada.

Kotak yang terbuka boleh menjadi tempat persembunyian binatang perosak ini dan juga boleh menjadi tempat kucing beranak.


12. Nyalakan lampu luar di depan dan belakang rumah.

Paling baik yang boleh dikawal oleh pemasa (timer). Alternatif lain, nyalakan lampu ruang tamu atau bilik utama. Ini dapat mengelakkan rumah kita menjadi gelap gelita yang memberi impresi bahawa tiada orang di dalam rumah. Penyangak di luar sana juga tidak berani membuat apa-apa dalam keadaan terang.


13. Angkat semua kain jemuran di luar masuk ke dalam rumah.

Kalau perlu sidai sahaja di dalam rumah. Baju yang dibiarkan bergantung di luar berhari-hari juga memberi impresi tiada sesiapa di dalam rumah.


14. Kosongkan laman rumah daripada apa-apa barang yang boleh menarik perhatian untuk diangkut keluar oleh pencuri.

Seperti kasut, basikal dan lain-lain lagi.


15. Pastikan semua pintu, tingkap dan grill dikunci sepenuhnya.

Bawa sekali gugusan kunci utama dan kunci pendua dan disimpan di oleh orang yang berlainan dan di tempat yang berasingan.

Sebagai contoh, satu kunci kita simpan dan satu lagi amanahkan pada jiran (jika yakin dan benar-benar percaya pada jiran kita).


Atau pun kunci utama dipegang si suami dan kunci pendua dipegang si isteri. Boleh juga kunci utama disimpan dalam beg pakaian dan kunci pendua disimpan dalam kereta.

Tidak mahu nanti akibat tertinggal atau kehilangan kunci, kita terpaksa balik semula ke kampung untuk ambil balik atau ada pintu rumah sendiri yang terpaksa dipecahkan.


16. Maklumkan kepada jiran terdekat.

Jangan lupa maklumkan kepada jiran terdekat tentang kepulangan kita ke kampung dan anggaran hari kita akan pulang semula.

Jika tidak sempat bersua muka cukup sekadar sms pemberitahuan kepada jiran. Manalah tahu nanti, jiran ingat kita dah pulang dari kampung, tetapi rupanya ada tetamu yang tak diundang di dalam rumah.


17. Berdoa

Dan yang terakhir, bagi seorang Muslim, jangan lupa berdoa kepada Allah supaya dijaga harta benda kita sepanjang ketiadaan kita dan bertawakal kepada Nya. Antara doa keluar rumah yang sesuai dengan sunnah adalah seperti berikut:

بِسْمِ الله, تَوَكَّلْتُ عَلَى الله, لاَحَوْلَ وَلاَقُوَّتَ إلاَّبِا الله

“Dengan menyebut Nama Allah, aku bertawakkal kepada Allah, tidak akan ada daya dan kekuatan kecuali dengan pertolongan Allah”



802 views0 comments

Recent Posts

See All
bottom of page